Tanggal 12 Rabiulawal merupakan satu tarikh keramat dalam sejarah umat
Islam di seluruh dunia. Kedatangan Nabi Muhammad merupakan satu rahmat
terbesar dan anugerah teragung yang Allah berikan kepada alam semesta
ini. Manusia pada saat itu berada dalam kekufuran, kegelapan syirik,
tidak mengenal pencipta mereka. Pada masa tersebut, penyembahan
terhadap berhala-berhala adalah merupakan satu penghormatan, perzinaan
adalah suatu kebanggaan, mabuk dan berjudi berleluasa, merompak serta
membunuh adalah suatu keberanian. Sehubungan ini Allah mengutus seorang
Rasul yang ditunggu oleh umat manusia untuk menghentikan semua kerosakan
ini dan membawanya kepada cahaya Ilahi.
Oleh yang demikian wajarlah kita merenung kembali sirah Rasulullah
(S.A.W) dan mengkaji sendiri tentang manusia teragung ini dan peranannya
dalam pembangunan manusia sejagat. Maulidur Rasul juga merupakan
masanya bagi umat Islam untuk memperingati semula Rasulullah s.a.w. dan
seterusnya menjadikan contoh sifat dan kehidupannya kerana baginda
adalah teladan terbaik.